KANGAR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 1 Mac ini sebagai tarikh pengurusan kes bagi permohonan pihak pendakwaan memindahkan kes bekas tentera yang didakwa membunuh isterinya, ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Nurshahida Abdul Rahim memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom memohon tarikh sebutan baharu bagi semakan dokumen berkaitan terlebih dahulu berikutan laporan kimia tertuduh serta laporan bedah siasat dan forensik mangsa telah siap.

Tertuduh Indera Zailan Mohamad Sani, 39, diwakili peguam Hari Prassaad Rao.

Pada 11 Okt tahun lepas, Indera Zailan didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh Munirah Abu Bakar, 31, di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau, antara pukul 10 malam 29 Sept lepas hingga 6.55 pagi 30 Sept.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mayat wanita itu ditemukan di bilik tidur kediaman berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dipercayai akibat ditikam dengan pisau.

-- BERNAMA